SKUAD bola jaring Wilayah Persekutuan sudah bersedia untuk menghadapi saingan Sukma 2022 dan kini dalam proses terakhir untuk memuktamadkan siapakah 12 pemain terbaik untuk menggalas cabaran ini.

Wilayah Persekutuan yang bakal turun sebagai juara bertahan pastinya ingin mempertahankan kejuaraan dengan kali ini dibarisi pemain-pemain muda tetapi mempunyai pengalaman beraksi di Netball Super League (NSL).

Pemain Paling Bernilai (MVP) NSL, Nordiyanah Sabadinee berkata persiapan pasukan berjalan lancar tetapi ada beberapa perkara yang perlu dimuktamadkan sebelum 12 pemain terbaik dipilih untuk beraksi pada Sukma 2022 ini.

Wilayah Persekutuan – Juara bertahan acara Bola Jaring Sukma

“Kami sudah bersedia sejak Mac dan kami juga semakin serasi dengan latihan serta corak permainan yang bakal ditampilkan dan kami dalam proses memilih 12 pemain terbaik untuk mewakili Wilayah Persekutuan.

“Turun sebagai juara bertahan, sudah pasti akan ada tekanan kerana semua pasukan mahu mengalahkan Wilayah Persekutuan tetapi kami yakin dengan kemampuan pasukan untuk membawa pulang pingat emas.

“Ada beberapa pemain yang tercedera selepas pulang dari mewakili negara ke Piala Bola Jaring Asia di Singapura, pegawai perubatan akan menilai tahap kecederaan mereka sebelum kami putuskan siapa bakal dinamakan dalam skuad,” katanya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.

Nordiyanah atau mesra disapa Diyan yang beraksi cemerlang ketika mewakili negara akan cuba membawa prestasi baik itu ke temasya Sukma kali ini dan berharap satu pertandingan yang menarik dapat dipersembahkan kepada para penyokong.

Wilayah Persekutuan diletakkan dalam Kumpulan A bersama Kedah serta Pulau Pinang dan akan memulakan cabaran menentang Kedah pada 19 September sebelum melengkapkan aksi kumpulan menentang Pulau Pinang keesokan harinya.