FOTO : KDA FC
DUA wakil utara, Perlis dan Kedah gagal mengutip mata penuh dalam perlawanan pembukaan Kumpulan D acara bola sepak Sukan Malaysia XX (Sukma 2022) di Stadium Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan tetapi buntu dihadapan gawang untuk sekadar berpuas hati dengan satu mata apabila terikat 0-0 sepanjang 90 minit permainan.
Kedah selaku bekas naib juara Sukma 2018 menguasai permainan pada babak pertama tetapi gagal mengatasi barisan pertahanan Perlis yang bertahan secara berdisiplin.
Perlis dibawah kendalian Azizul Abidin beraksi baik pada babak kedua dengan melancarkan serangan demi serangan ke kubu Kedah namun dinafikan ketangkasan penjaga gol skuad Kenari.
Dengan Kumpulan D yang hanya diisi tiga pasukan, keputusan seri ini boleh dianggap menyukarkan laluan kedua-dua pasukan ke suku akhir dengan perlawanan seterusnya menjadi penentuan nasib mereka di temasya ini.
Singa Utara akan bertemu Pulau Pinang pada perlawanan kedua pada Khamis untuk mengakhiri perlawanan kumpulan manakala Kedah berehat sebelum juga akan berhadapan Pulau Pinang pada Sabtu.