PASUKAN bola sepak Sukma Pulau Pinang berjaya mencatat mata maksimum dalam acara bola sepak Kumpulan D selepas menewaskan seteru utama, Kedah 2-0 sekaligus layak ke suku akhir.
Ketua Jurulatih, Akmal Rizal Ahmad Rakhli ternyata gembira dengan dua kemenangan ini dan akan mempersiapkan satu pelan terbaik untuk aksi suku akhir apabila ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan.
Akmal juga menuntuk persembahan yang mantap daripada semua pemainnya kerana ini adalah detik terbaik buat skuad Pulau Pinang untuk pergi lebih jauh dalam temasya ini.
“Alhamdulillah kami berjaya layak ke suku akhir. Ianya akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar kerana pasukan Kelantan mempunyai pemain yang baik. Saya perlu mempersiapkan satu pelan yang terbaik untuk bermain pada perlawanan itu.
“Saya juga perlu menilai tahap kecergasan pemain kerana ada beberapa pemain yang cedera dan keletihan selepas bermain dua perlawanan dalam masa tiga hari. Apapun saya akan memastikan kami bersedia untuk melakukan yang terbaik untuk melayakkan diri ke separuh akhir.
“Ini juga adalah masa dan peluang terbaik bagi pasukan Pulau Pinang mencipta kejutan untuk layak sejauh yang boleh dalam edisi Sukma kali ini,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Pulau Pinang kini akan berhadapan Kelantan di Stadium Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada Isnin dengan pemenang bakal layak ke separuh akhir dan semakin mendekati pungutan pingat.