JOHOR menyingkirkan Melaka dalam acara bola sepak Sukma selepas mencatatkan kemenangan dalam aksi kedua Kumpulan B sekaligus menghimpit Pahang untuk layak ke peringkat suku akhir.

Skuad kendalian Javier Jorda itu mudah membenam cabaran Melaka 3-0 dan memberikan mereka kekalahan kedua selepas sebelum ini tewas 0-2 kepada Sarawak pada perlawanan pembukaan pada Isnin.

Abdul Raziq Rahman membuktikan dirinya sebagai penyerang berbisa apabila menjaringkan hatrik untuk memberikan Johor kemenangan pertama dalam Temasya Sukma kali ini.

 

Tiga jaringan Raziq pada minit keempat, ke-12 dan pada minit terakhir perlawanan membawa Johor ke puncak Kumpulan B dengan empat mata, terikat dengan Pahang tetapi berkelebihan dari sudut jaringan.

Melaka jelas tertekan dengan dua gol awal yang dijaringkan Johor dan sukar untuk mengatur gerak kerana sentiasa ditekan oleh barisan pemain yang dilihat lebih berpengalaman.

Selapas mendapat dua gol awal, Johor bermain lebih tenang dengan membuat hantaran-hantaran pendek bagi mengelakkan tekanan dan mengekalkan kelebihan yang diperolehi.

Johor akan bertemu Sarawak manakala Melaka akan bertemu Pahang pada Jumaat dengan keputusan positif akan membawa Johor dan Pahang ke suku akhir bertemu sama ada Wilayah Persekutuan atau Selangor.