JUARA bertahan Perak tersingkir awal dari acara bola sepak lelaki Sukma 2022 selepas tewas kali kedua dalam saingan peringkat Kumpulan A di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada Rabu.

Perak gagal mempertahankan pingat emas selepas tewas 0-1 kepada Wilayah Persekutuan yang menambah sengsara Perak apabila turut tewas 2-0 pada perlawanan pertama kepada Selangor.

Meskipun menguasai permainan pada awal babak pertama namun jaringan Iman Fakhrullah Zamri pada minit ke-23 menyentap semangat juang pemain Perak yang dilihat semakin bermain dalam tekanan.

 

Penjaga gol Wilayah Persekutuan, Azim Al Amin sekali lagi membuktikan status beliau sebagai pemain Piala AFC apabila banyak kali menafikan percubaan berbahaya Perak terutama pada babak kedua.

Pujian turut diberikan kepada barisan pertahanan pasukan bimbingan Zolkipli Samion ini yang mempamerkan tahap disipilin yang tinggi untuk mengekang asakan bertali arus Perak bagi memburu gol penyamaan.

Kemenangan ini menyaksikan Wilayah Persekutuan layak ke peringkat suku akhir bersama-sama pasukan Selangor yang turut layak selepas menewaskan Negeri Sembilan dalam satu lagi aksi Kumpulan A.

Wilayah Persekutuan kini akan berhadapan Selangor pada Jumaat bagi menentukan siapakah bakal muncul juara kumpulan manakala Perak dan Negeri Sembilan akan bermain demi maruah untuk cuba mengutip mata dari temasya ini.