PASUKAN Pulau Pinang berjaya membuat kejutan layak ke final acara bola sepak Sukma 2022 mengenepikan Wilayah Persekutuan dan kini selangkah untuk memenangi emas pertama dalam sejarah.
Pengendali pasukan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli sedar mereka bukanlah pasukan pilihan tetapi percaya para pemainnya mampu untuk menjelmakan pingat emas kepada Pulau Pinang.
Dia juga tahu kekuatan Terengganu dan mahukan aksi final ditamatkan dalam 90 minit dan akan memastikan anak-anak buahnya bermain sehabis baik pada perlawanan yang dilangsungkan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
“Pertama sekali saya bersyukur kerana berjaya sampai ke akhir. Ini adalah pencapaian terbaik buat skuad yang dibentuk sejak Januari. Ramai yang tidak meletakkan harapan kepada kami tetapi saya percaya pasukan ini boleh pergi jauh kerana pemain ada karektor dan sifat kekeluargaan yang baik.
“Pemain-pemain saya mempunyai sikap yang fantastik dan kejayaan ini sudah pasti akan membanggakan pasukan dan juga rakyat Pulau Pinang kerana pasukan utama yang sedang bergelut.
“Semua pemain sedar kerana kali terakhir masuk ke final adalah pada 2000 dan 2002. Apabila sudah melangkah ke final moral pemain berada pada tahap tertinggi dan kami akan lakukan sehabis baik dengan perancangan terbaik untuk bertemu Terengganu dan akan cuba mendapatkan pingat emas.
“Terengganu memang pasukan yang bagus dalam Sukma. Pembangunan mereka antara yang terbaik dalam negara tetapi dalam bola sepak siapa yang berusaha lebih dan kurang lakukan kesilapan berpeluang untuk menang dan kalau boleh kami nak menang dalam 90 minit permainan tetapi kami sudah bersedia untuk hadapi apa jua senario dan pemain akan berjuang habis habisan,” katanya.
Keyakinan Akmal turut disokong kapten pasukan, Danial Irfan Mohd Nadzri yang juga mahu mencipta sejarah buat pasukan Pulau Pinang dan mahu menjaringkan gol sebagai sasaran peribadinya dan mahu membawa pasukannya memenangi pingat emas.
“Saya berharap semua pemain Pulau Pinang dapat beri kerjasama untuk bagi pingat emas dan kami mahu cipta sejarah dan bawa pulang pingat untuk Pulau Pinang.
“Kini kami berada pada momentum dan keadaan yang terbaik. Kami masih tidak percaya dapat layak ke final kerana kami bukanlah pasukan pilihan tetapi berusaha dan mahu buktikan yang Pulau Pinang layak bermain di final esok.
“Terengganu adalah satu pasukan yang baik dalam negara dan ini bukanlah tekanan buat kami. Saya meletakkan sasaran peribadi untuk menjaringkan gol dan bantu pasukan menang tetapi kami akan terima apa jua keputusan esok,” katanya dalam sidang media pra perlawanan.
Ditanya media adakah pemainnya terkesan akibat kekecohan yang berlaku pada akhir perlawanan separuh akhir semalam, Akmal menjelaskan kapten dan pemain Pulau Pinang sudah matang dan berjaya mengawal emosi serta tidak terlibat dan tidak terkesan dengan insiden itu.