JURULATIH Selangor, Muhammad Firdaus Aziz (gambar) berkata faktor kejayaan pasukan Selangor adalah disebabkan semangat kekeluargaan yang ada dalam pasukan tersebut.
Jelasnya, sikap kekeluargaan yang dipamerkan sejak dari Piala Belia jelas sedikit sebanyak mempengaruhi persembahan luar biasa Selangor dalam aksi Sukma kali ini.
Kemasukan Muhammad Raimi Shamsul jelas mengubah corak permainan pasukan Selangor apabila dia kerap kali berjaya menangkis asakan jentera serangan lawan.
“Alhamdulillah kami layak ke pusingan seterusnya. Kita kena bersiap sedia untuk perlawanan terakhir. Hari Jumaat kita akan pulih sepenuhnya.
“Kita bekerja sebagai sebuah famili. Awak cuba tengok bagaimana kita bekerja. Salah satu sebab kita menang adalah kebersamaan kita.
“Kualiti Raimi sebagai bekas pemain bola sepak kebangsaan. Dalam Piala Presiden, persembahannya agak naik turun. Ia normal bagi pemain muda. Saya rasa dia akan jadi seorang pemain pertahanan yang terbaik di Malaysia.
“Saya rasa Raimi mampu jadi seorang pertahanan berkualiti di Malaysia, secara jujur, ” katanya selepas tamat perlawanan aksi Kumpulan A Bola Sepak Sukma di UM Arena.
Sementara itu, Jurulatih Negeri Sembilan, Azzmi Ab Aziz mengakui punca Skuad Jang tewas buat kali kedua adalah disebabkan kelekaan di bahagian pertahanan serta pengalaman yang kurang berbanding pasukan lawan.
Selain itu, dia turut menjelaskan kualiti pertahanan pemain Negeri Sembilan juga jauh berbeza dari segi kemampuan individu berbanding Gergasi Merah.
Sedar kayu pengukur yang diletakkan adalah mara sekurang-kurangnya ke suku akhir bagi saingan SUKMA kali ini, dia menyerahkan kepada pengurusan menentukan langkah seterusnya samada kekal atau digugurkan.
” Kita tahu kita tewas dari saingan, kita harap sekurang-sekurangnya kita pergi suku akhir. Sedikit kelekaan separuh masa kedua. Sedikit switch off di sana apabila kita dibolosi.
” Kita memang ada isu di bahagian pertahanan. Kita cuba proses dari awal tetapi mungkin kemampuan mereka setakat itu.
” Pengalaman mereka kurang berbanding pasukan lawan, itu adalah satu faktor mengapa mereka leka dan lawan mengambil kesempatan.
“Setakat ini saya tidak pasti kedudukan saya sebagai jurulatih di Negeri Sembilan, terpulang kepada pengurusan untuk menentukan,”ujarnya.