PELUANG skuad bola sepak Sukma Pahang semakin cerah ke suku akhir apabila meraih tiga mata penuh dalam aksi kedua Kumpulan B di Stadium Universiti Tenaga Nasional (Uniten) pada Rabu.
Ibrahim Manusi muncul wira buat Pahang apabila jaringan cantiknya pada minit ke-22 berjaya memberikan kemenangan buat skuad kendalian Yazeed Hamzah.
Pahang kini dengan empat mata selepas seri pada perlawanan pertama berada di tangga teratas kumpulan buat seketika sambil menanti keputusan perlawanan antara Johor dan Melaka yang berlangsung pada sebelah malam.
Sarawak yang berjaya mengatasi Melaka 2-0 pada perlawanan pertama nyata gagal mengulangi gaya persembahan dengan Pahang dilihat lebih banyak menguasai permainan terutama pada babak pertama.
Mereka juga harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyempurnakan sepakan penalti pada pertengahan babak pertama apabila sepakan Faris Faidillah terkena palang.
Malang terus menimpa Sarawak pada babak kedua apabila kapten pasukan Iskandar Shah Jamil Kilin dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Pahang hingga memaksa Sarawak bermain 10 orang selama hampir 40 minit.
Namun Pahang gagal mengambil kesempatan kelebihan seorang pemain untuk keputusan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan dan berjaya mengutip mata penuh dan mendahului kumpulan.
Pahang akan menentang Melaka untuk perlawanan terakhir kumpulan pada Jumaat manakala Sarawak akan bertemu Johor untuk menentukan pasukan mana dari Kumpulan B ini yang layak ke peringkat suku akhir.