PENGENDALI skuad bola sepak Wilayah Persekutuan, Zolkipli Samion menganggap lawan mereka yang seterusnya, Perak adalah sebuah pasukan yang misteri dan mahukan anak-anak buahnya memberikan lebih daripada 100 peratus bagi menjamin kemenangan.

Dia mengatakan Perak adalah pasukan yang misteri kerana tiada siapa yang tahu akan kekuatan atau kelemahan pasukan itu kerana mereka tidak bertanding di Piala Presiden mahupun Piala Belia namun Wilayah Persekutuan tetap perlu berhati-hati.

Zolkipli yang ditemui Flash Sukan selepas kejayaan membenam Negeri Sembilan dalam aksi pembukaan Kumpulan A acara bola sepak di Stadium UKM pada Isnin percaya pasukannya mampu mengharungi kumpulan yang dilabel sebagai kumpulan maut itu.

Perak yang merupakan juara bertahan dilabel sebagai pasukan misteri oleh Zolkipli.

“Perak ini adalah satu pasukan yang misteri kerana kita tidak tahu kekuatan mereka sebab mereka tidak bertanding dalam Piala Presiden mahupun Belia. Tetapi kita perlu berhati-hati kerana mungkin mereka sudah mempersiapkan pasukan lebih awal dan mereka juga adalah juara bertahan.

“Saya gembira dengan tiga mata pertama ini dan mahukan aksi lebih baik ditunjukkan para pemain saya pada perlawanan menentang Perak kerana kemenangan akan menjamin tempat ke peringkat suku akhir.

“Kami akan menghadapi semua lawan sama ada di peringkat kumpulan mahupun di peringkat kalah mati dengan sasaran memenangi pingat emas masih kekal dan saya yakin kami mampu melepasi kumpulan maut ini,” katanya.

Sementara itu Pengurus Pasukan Bola Sepak Wilayah Persekutuan, Datuk Kamarudin Hassan jelas gembira dengan kemenangan ini dan menuntut aksi lebih baik daripada para pemain bagi memastikan kemenangan ke atas Perak.

Datuk Kamarudin Hassan

Beliau juga berpuas hati dengan cara permainan yang ditunjukkan oleh barisan pemain meskipun ini adalah kali pertama mereka beraksi di Sukma dan dia mensasarkan pingat emas pada percubaan ketiganya sebagai pengurus Wilayah Persekutuan.

“Syukur Alhamdulillah dengan kemenangan ini. Tiga mata penuh ini sangat penting dan saya mahukan pemain berikan lebih komitmen pada aksi bertemu Perak nanti bagi memastikan kita meraih kemenangan dan mencerahkan laluan ke suku akhir.

“Saya gembira dengan komitmen para pemain terutama dengan cara mereka menyerap tekanan daripada pihak lawan meskipun ini adalah kali pertama para pemain ini semua beraksi di Sukma dan juga secara karnival.

“Sasaran emas masih menjadi keutamaan sebagai pengurus kerana sebelum ini saya berjaya memenangi gangsa pada Sukma Pahang 2012 dan perak pada Sukma Sarawak 2016. Saya berharap percubaan ketiga ini membawa tuah buat saya untuk memenangi emas,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Wilayah Persekutuan berjaya membenam Negeri Sembilan 1-0 dan akan bertemu Perak pada Rabu dengan kemenangan akan menjamin tempat mereka ke suku akhir sebelum melengkapkan peringkat kumpulan bertemu Selangor pada Jumaat.