PULAU PINANG berjaya mencatat kemenangan pertama dalam aksi Kumpulan D acara bola sepak Sukma 2022 apabila menumpaskan Perlis 1-0 di Stadium Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Keadaan hujan pada awal perlawanan dilihat sedikit menganggu gerakan kedua-dua pasukan dengan Perlis dilihat lebih banyak menguasai permainan.

Kehadiran penyokong yang menyokong dengan loghat utara menambah kemeriahan perlawanan derby utara mini ini dengan pasukan Perlis mahukan kemenangan untuk menjamin tempat ke suku akhir.

Danial Irfan tenang menyempurnakan penalti

Danial Irfan menjadi wira Pulau Pinang apabila berjaya menyempurnakan penalti pada minit ke-24 apabila bola terkena tangan pertahanan Perlis untuk kedudukan 1-0 kekal hingga tamat aksi babak pertama.

Pasukan bimbingan Azizul Abidin meningkatkan asakan pada babak kedua namun dihampakan kekentalan barisan pertahanan dan juga ketumpulan penyudah barisan penyerang Perlis.

Aksi perlawanan Pulau Pinang dan Perlis.

Kemenangan ini meletakkan skuad kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli di tangga teratas Kumpulan D dengan tiga mata manakala Perlis terbawah dengan satu mata dari dua perlawanan.

Pulau Pinang secara matematik telah layak ke suku akhir kerana Kumpulan D hanya mempunyai tiga pasukan manakala Perlis perlu menunggu keputusan perlawanan antara Kedah dan Pulau Pinang pada Sabtu untuk mengetahui nasib mereka.