PULAU PINANG menafikan hasrat Wilayah Persekutuan untuk memenangi emas acara bola sepak apabila menghantar mereka keluar dari Temasya Sukma 2022 dengan kemenangan 1-0 di Stadium UiTM, Shah Alam.

Kapten pasukan Pulau Pinang, Danial Irfan menjadi wira pasukan apabila menyempurnakan sepakan penalti lima minit sebelum tamat babak pertama selepas bola terkena tangan pertahanan Wilayah Persekutuan.

Separuh masa kedua menyaksikan penguasaan penuh skuad Wilayah tetapi gagal menemui sasaran dengan pertahanan Pulau Pinang bertahan dengan baik.

Kekecohan berlaku di penghujung perlawanan antara pemain serta pegawai kedua-dua pasukan yang gagal mengawal emosi yang dilihat membantah keputusan pengadil yang melayangkan kad merah kepada pemain Wilayah Persekutuan.

Apabila aksi bersambung, Wilayah Persekutuan yang kelihatan kehilangan plot semakin tertekan dan akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 1-0 dan gagal layak ke final.

Pengendali Pulau Pinang Akmal Rizal Ahmad Rakhli menangis kegembiraan sejurus tamat perlawanan dan mendedikasikan kemenangan ini kepada seluruh rakyat Pulau Pinang.

“Saya perlu puji barisan pemain saya yang bermain sejak perlawanan pertama dan kejayaan ke final ini saya dedikasikan kepada seluruh rakyat Pulau Pinang dan kini kami akan memburu pingat emas,” katanya kepada FLASH SUKAN.

Dengan kemenangan ini, Pulau Pinang bakal bertemu Terengganu di final yang dijadualkan pada Jumaat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi merebut ibu segala pingat emas.

Wilayah Persekutuan pula akan bertemu Selangor untuk penentuan pingat gangsa di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia UKM juga pada Jumaat.