AKSI dramatik antara Pulau Pinang dan Kelantan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam masa sebenar permainan dalam acara bola sepak Sukma 2022 di Stadium Universiti Tenaga Nasional (Uniten).
Kedua-dua pasukan bersaing hebat berbalas jaringan sepanjang 90 minit permainan sebelum tiga sepakan penalti Kelantan diselamatkan dan satu sepakan tersasar untuk memberikan Pulau Pinang kemenangan 5-4.
Barisan Akmal Rizal Ahmad Rakhli dilihat menguasai permainan dari awal permainan namun Kelantan berjaya mengambil peluang yang terhidang untuk menjaringkan gol sekaligus membuka permainan menjadi lebih rancak.
Akmal yang ditemui selepas tamat perlawanan nyata gembira dengan kemenangan ini dan mahu meneruskan rentak cemerlang hingga ke final dengan memilih Johor sebagai lawan di separuh akhir.
“Syukur Alhamdulillah atas kemenangan ini dan kami kini di separuh akhir Sukma dan saya mahu layak ke final dan ini adalah detik yang cukup manis buat saya dalam bidang kejurulatihan dan secara peribadi saya mahu bertemu Johor di separuh akhir,” katanya.
Dia turut memuji anak-anak buahnya yang tenang menyempurnakan penalti walaupun hampir menggigit jari apabila dua penalti gagal disempurnakan namun dia menganggap ini adalah sebahagian daripada bola sepak.
Pulau Pinang kini menunggu keputusan perlawanan antara Johor dan Wilayah Persekutuan untuk menentukan lawan mereka di separuh akhir pada Rabu di Stadium UiTM Shah Alam.
Dalam dua lagi perlawanan yang juga berlangsung pada sebelah petang, Terengganu mara selepas menewaskan Perlis 3-0 manakala Selangor berjaya memenangi penentuan penalti 7-6 ke atas Pahang untuk layak ke separuh akhir.