JURULATIH skuad Sukma Johor, Jorda Ribera Javier berbangga dengan pencapaian para pemainnya selepas berjaya layak ke peringkat suku akhir acara bola sepak Sukma 2022.

Johor berjaya menumpaskan Sarawak 2-0 sekaligus muncul juara Kumpulan B dan akan berhadapan saingan Wilayah Persekutuan pada aksi suku akhir yang dijadualkan pada Isnin di Stadium UiTM Shah Alam.

Dia juga turut bersimpati dengan kegagalan pasukan Kenyalang kerana dia dan ketua jurulatih, Safri Amat sudah lama mengenali satu sama lain tetapi ini adalah lumrah dalam bola sepak.

Jorda turut menegaskan dia tetap akan melakukan penggiliran pemain kerana ianya penting untuk memastikan setiap pemain berada pada tahap kecergasan terbaik bagi menghadapi jadual yang padat.

“Saya gembira dengan kemenangan ini dan berpuas hati dengan para pemain yang berjaya bermain corak permainan kami yang melayakkan kami ke peringkat suku akhir.

“Simpati buat Sarawak kerana gagal ke suku akhir. Saya dan Safri Amat sudah lama mengenali dan persiapan mereka juga sangat bagus untuk Sukma kali ini tetapi ini adalah bola sepak. Kami menang dan akan meneruskan perjuangan.

“Kami melakukan enam hingga tujuh pemain pada perlawanan ini dan akan terus melakukan penggiliran pemain kerana kami percaya 100 peratus dengan para pemain dan siapa pun diturunkan akan memberikan aksi yang baik.

“Kini kami bersedia untuk menghadapi Wilayah Persekutuan dan berharap dapat layak ke separuh akhir,” kata Jorda secara eksklusif kepada FLASH SUKAN selepas perlawanan di Uniten.

Jorda yang berpengalaman sebagai jurulatih akademi kini memburu kejayaan kedua tahun ini selepas berjaya membawa JDT III menjuarai Piala Presiden bulan lalu.