JUARA bertahan Sukma 2018, Perak tersungkur di tangan Selangor 0-2 dalam acara Bola Sepak Sukan Malaysia (Sukma) di Universiti Malaya Arena pada Isnin.
Aksi separuh masa pertama menyaksikan Selangor berjaya mengawal permainan dengan melakukan beberapa serangan merbahaya.
Serangan bertali arus itu membuahkan hasil apabila Mohd Khairil Mohd Zain berjaya meletakkan Gergasi Merah di hadapan 1-0 pada minit ke-25.
Aksi babak kedua terus dikuasai Selangor dengan kawalan bola kemas dan berjaya melakukan beberapa cubaan merbahaya ke kubu lawan namun terus buntu menambah jaringan.
Manakala, Perak turut memiliki peluang keemasan apabila rembatan Muhammad Ikfan Mohd Rozi hampir menggegar gawang Selangor namun berjaya diselamatkan penjaga gol Gergasi Merah, Ahmad Azeem Izhar Ahmad Rizal.
Penghujung babak kedua menyaksikan Selangor terus mengukuhkan kedudukan hasil jaringan Pengiran Ilham Mohd Ag Jumaat sekaligus melengkapkan kemenangan pertama 2-0 kumpulan A petang ini.