SELANGOR berjaya muncul juara Kumpulan A acara bola sepak Sukma 2022 sekaligus berjaya mengelak bertemu Johor di peringkat suku akhir selepas terikat 1-1 menentang Wilayah Persekutuan (WiPers).

Selangor dan Wilayah Persekutuan menamatkan aksi dalam peringkat kumpulan masing-masing dengan tujuh mata tetapi Selangor mempunyai kelebihan dari perbezaan jaringan untuk muncul sebagai juara kumpulan.

Permainan sedikit terganggu apabila terpaksa dihentikan selama 10 minit sebanyak dua kali kerana hujan lebat dan kebimbangan petir namun ianya tidak menjejaskan semangat kedua-dua pasukan.

 

Gol Selangor dijaringkan oleh Adim Muzahhir Saipu Azlan pada babak kedua yang menyamakan kedudukan selepas Wilayah Persekutuan terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Adam Mukriz Syamsul Ariffin.

Pengendali Wilayah Persekutuan, Zolkipli Samion nyata berpuas hati dengan keputusan ini dan mahu pemainnya mengekalkan momentum serta memberikan persembahan yang baik di suku akhir nanti.

“Untuk hari ini kedua-dua pasukan menunjukkan aksi yang baik. Saya harap momentum seperti ini dapat diteruskan dan pemain dapat memberikan lebih lagi apabila berhadapan dengan pihak lawan di suku akhir nanti kerana kita hanya mahu lakukan yang terbaik,” katanya selepas perlawanan.

Dengan keputusan seri ini, Selangor akan berhadapan Pahang manakala Wilayah Persekutuan akan bertemu Johor di peringkat suku akhir yang dijadualkan pada Isnin.

Aksi Perak bertemu Negeri Sembilan

Dalam satu lagi perlawanan juara bertahan, Perak terus terkulai layu apabila kali ini tewas kepada Negeri Sembilan 1-2 untuk menamatkan temasya kali ini di tangga tercorot tanpa sebarang mata dan hanya mampu menjaringkan satu gol dari tiga perlawanan.