TERENGGANU akhirnya berjaya layak ke final acara bola sepak Sukma 2022 apabila mengenepikan cabaran Selangor 2-1 pada separuh akhir dan kini akan berhadapan Pulau Pinang untuk menentukan pemenang ibu segala pingat emas.
Ketua Jurulatih, Badrul Afzan Razali tidak mahu Terengganu dilabel sebagai pasukan pilihan kerana Pulau Pinang juga adalah pasukan yang bagus dan peluang untuk memenangi emas adalah seimbang buat kedua-dua pasukan.
Dia yang mengakui bahawa pingat emas ini adalah penting buat Terengganu tetap merendah diri dan mahukan aksi yang terbaik daripada para pemainnya dan tidak memandang rendah keupayaan pasukan Pulau Pinang.
Badrul juga mahu mengekalkan corak permainan berintensiti tinggi dan gembira kerana Terengganu tidak hanya bergantung kepada individu tertentu untuk menjaringkan gol sebaliknya ia adalah tugas sepasukan.
“Pertama sekali saya bersyukur kerana layak ke perlawanan akhir setelah kali terakhir melakukannya pada 2010. Esok kami mempunyai peluang untuk menang pingat emas tetapi kita tidak boleh mengambil mudah pasukan Pulau Pinang dengan peluang tetap 50-50 pada final esok.
“Terengganu bukanlah pasukan pilihan kerana di final, siapa yang kurang melakukan kesilapan akan menjadi pemenang. Pingat emas ini adalah penting buat Terengganu tetapi Pulau Pinang adalah pasukan yang baik dan kami tidak akan mengambil mudah.
“Benar ada pemain Terngganu yang mempunyai pengalaman bermain di Liga Perdana namun bola sepak bukanlah permainan individu tetapi permainan berpasukan dan kami akan lakukan yang terbaik pada aksi final esok.
‘Corak permainan ‘high pressing ‘ adalah cara dan DNA kami dan kami akan kekalkan rentak yang sama untuk perlawanan akhir ini. Pasukan Terengganu mempunyai empat hingga lima pemain yang mampu jaringkan gol dan tidak mensasarkan pada penyerang sahaja. ‘Set pieces‘ juga akan memainkan peranan dalam menjaringkan gol dan ianya adalah satu kekuatan untuk pasukan ini,” jelas Badrul ketika sidang media pra perlawanan.
Sementara itu ketua pasukan Terengganu, Safwan Mazlan gembira apabila layak ke final dan akan melakukan yang terbaik untuk membawa pulang pingat emas ke bumi Terengganu pada penampilan pertamanya di Sukma.
“KPI jurulatih adalah layak ke suku akhir dan kami berjaya mengatasinya seterusnya layak pula ke final dan ini memberikan keyakinan buat kami terutama kepada saya yang beraksi dalam Sukma pertama saya.
“Untuk kami bawa pulang pingat emas amat bermakna buat Terengganu dan saya tidak gementar meskipun kami tidak menjangka akan bertemu Pulau Pinang di peringkat akhir.
“Kami akan sediakan pasukan untuk perlawanan esok dari segi mental dan fizikal kerana tidak banyak perbezaan antara kami dan Pulau Pinang dan selagi wisel penamat belum ditiupkan kami akan lawan sehabis baik, katanya.
Terengganu akan berhadapan Pulau Pinang pada final acara bola sepak pada Jumaat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi menentukan siapakah juara bola sepak Sukma dan pemenang ibu segala pingat emas temasya ini.