KEJAYAAN skuad bola sepak Wilayah Persekutuan layak ke peringkat separuh akhir acara bola sepak Sukma 2022 nyata menarik perhatian kelab bola sepak Liga Super, Kuala Lumpur City FC.
Skuad muda Wilayah Persekutuan layak ke separuh akhir selepas mengenepikan cabaran pasukan pilihan, Johor 5-4 menerusi penentuan penalti dan akan bertemu Pulau Pinang di Stadium UiTM Shah Alam pada Rabu.
Penjaga gol Wilayah Persekutuan, Azim Al Amin Kamaruddin yang muncul wira apabila menyelamatkan empat sepakan penalti Johor adalah penjaga gol simpanan skuad utama Kuala Lumpur City dengan pengalaman berada dalam skuad Piala AFC.
Selamat bertarung kepada pasukan bolasepak SUKMA Wilayah Persekutuan bagi perlawanan separuh akhir esok malam menentang SUKMA Pulau Pinang 🤩
Semoga Wilayah kita diberkati kejayaan. Selamat maju jaya! 🔴⚪️ pic.twitter.com/kQoMaQcg7j
— Kuala Lumpur City Football Club (@KLCityFootball) September 20, 2022
“Selamat bertarung kepada pasukan bolasepak SUKMA Wilayah Persekutuan bagi perlawanan separuh akhir esok malam menentang SUKMA Pulau Pinang. Semoga Wilayah kita diberkati kejayaan. Selamat maju jaya!,” tulis hantaran yang dimuat naik di laman sosial rasmi Kuala Lumpur City FC.
Selain itu, Ketua Jurulatih KL City, Bojan Hodak turut memberikan kata-kata semangat buat skuad kendalian Zolkipli Samion dan berharap mereka dapat mengekalkan aksi yang baik dan layak ke perlawanan akhir.
“Saya ucapkan selamat maju jaya kepada mereka. Mereka menang ke atas satu pasukan yang baik dalam temasya ini dan kini mereka mampu mengatasi mana-mana pasukan. Mereka menunjukkan semangat berpasukan yang baik pada perlawanan itu dan berharap ianya dapat mendorong mereka hingga ke final,” kata Bojan.
Wilayah Persekutuan meletakkan sasaran memenangi pingat emas pada Temasya Sukma 2022 ini dan ianya bakal menjadi hadiah terbaik dalam percubaan kali ketiga Pengurus Pasukan Bola Sepak Wilayah Persekutuan, Datuk Kamarudin Hassan untuk memenangi emas.
Pemenang antara Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang akan bertemu sama ada Terengganu atau Selangor yang bersaing dalam satu lagi peringkat separuh akhir yang berlangsung di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada sebelah petang.