Foto Kredit : www.myallsports.com
BARU dua apparatus, namun skuad gimnastik berirama Wilayah Persekutuan (WiPers) mula menunjukkan tanda-tanda mendominasi pungutan pingat emas, dalam aksi di Gimnasium 1 Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, hari ini.
Pada aksi kelayakan apparatus gelung bagi acara all-around berpasukan, tiga gimnas WiPers membuktikan mereka berada dalam kelas tersendiri apabila mendahului kedudukan tiga teratas.
Atlet kebangsaan, Lezane Tan Li Hwe mempamerkan persembahan konsisten dan berjaya menambat hati juri dengan 23.800 mata, di kedudukan pertama.
Mengekori rapat di tempat kedua, rakan sepelatih Valerie Ng Zi Yi, 22.800 mata.
Seorang lagi gimnas WiPers, Nur Zhafirah Wong Rudy Kurniawan mencatat 22.250 mata untuk menghuni tangga ketiga.
Timbalan Pengarah Operasi Kontinjen Wipers merangkap Timbalan Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan, Nabilah Zakaria berkata, gimnastik berirama antara sukan yang menjadi pertaruhan emas kontinjen WiPers.
“Sasaran kontinjen sebelum ini dua pingat emas akan diperoleh daripada sukan gimrama. Esok baru ada pingat ditawarkan bagi acara all-around berpasukan,” katanya.