ATLET Terengganu yang memenangi pingat pada Sukan Malaysia (Sukma) akan menerima habuan lumayan jika negeri itu mengekalkan gelaran juara keseluruhan tahun ini.

EXCO Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, pemenang pingat emas akan menerima RM6,000 manakala RM3,000 untuk perak dan RM2,000, gangsa.

“Ini adalah insentif terbesar pernah diberikan namun hanya terlaksana jika Terengganu mempertahankan status juara keseluruhan dengan sasaran 57 pingat emas, 25 perak dan 40 gangsa.

“Jika gagal mencapai misi berkenaan, atlet tetap akan dibayar insentif mengikut kadar sedia ada iaitu RM3,000, RM2,000 dan RM1,000 untuk pingat emas, perak dan gangsa.

“Saya harap ganjaran ini menaikkan moral serta membalas pengorbanan atlet yang mana persiapan Sukma kali ini berbeza disebabkan pandemik Covid-19,” ujarnya kepada FLASH SUKAN di sini, pada Khamis.

Tambah Wan Sukairi lagi, untuk rekod kerajaan negeri telah memperuntukkan insentif RM995,000 kepada atlet-atlet yang membantu Terengganu muncul juara Sukma 2018.