JUARA baharu acara hoki lelaki Sukma 2022 bakal ditabalkan selepas juara bertahan, Sabah gagal layak ke separuh akhir apabila hanya menamatkan aksi Kumpulan A di tangga ketiga.
Perak cemerlang sebagai juara kumpulan dengan enam kemenangan berturut-turut manakala Terengganu berjaya merebut slot ke separuh akhir apabila menduduki tempat kedua.
Kumpulan B pula menyaksikan naib juara edisi 2018, Pahang melangkah ke separuh akhir diikuti skuad yang meningkat naik, Johor yang menafikan Selangor untuk slot empat pasukan terbaik.
Pahang akan bertemu Terengganu dengan kedua-dua pasukan pastinya mahu melangkah ke final dan pertemuan dua gergasi hoki Pantai Timur ini pastinya menjadi tumpuan.
Pengendali Terengganu, Faizal Ismail berkata mereka sudah mengkaji permainan Pahang menerusi analisis video dan akan memberikan sepenuh kekuatan ketika perlawanan separuh akhir.
Dia juga turut berpuas hati dengan persembahan yang telah diberikan oleh anak-anak buahnya ketika perlawanan peringkat kumpulan dan hanya selangkah sahaja lagi ke perlawanan akhir.
“Kami sudah melakukan analisis perlawanan Pahang menerusi video dan kami yakin akan dapat memberikan tentangan yang sengit dan kami perlukan sokongan dan doa daripada seluruh rakyat Terengganu.
“Setakat ini para pemain sudah memberikan segala-galanya yang mereka ada dan kini berpeluang untuk bergelar juara hoki Sukma dan membawa pulang pingat emas,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir, Perak akan bertemu Johor dengan pasukan utara itu dilihat berada dalam keadaan terbaik namun kejutan mampu dilakukan oleh Johor bagi merebut tiket ke final.
Keempat-empat pasukan ini akan berentap untuk sampai ke kemuncak acara hoki yang dijadualkan pada Jumaat di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sekaligus bergelar juara acara hoki Sukma 2022.
Sementara itu dalam kategori wanita pula, Selangor bakal bertemu Wilayah Persekutuan manakala Pulau Pinang bertemu Pahang bagi merebut tempat ke final pada Jumaat.