PASUKAN Pahang mengungguli padang hoki hari ini apabila meraih kerjuaraan berganda, selepas skuad lelaki dan wanitanya memenangi pingat emas Sukan Malaysia XX (Sukma).

Skuad hoki lelaki Tok Gajah, berjaya menebus kekecewaan empat tahun lalu yang menyaksikan mereka tewas di tangan Sabah, apabila menundukkan skuad Johor pada Jumaat.

Perlawanan berlangsung sengit dan kedua-dua pasukan kental bertahan menyekat setiap cubaan, sehinggalah terakhir permainan, Muhammad Idris Samad menjaringkan gol menerusi pukulan sudut penalti.

Pahang meraih pingat emas, Johor perak dan gangsa milik Perak.

Sementara itu, skuad wanita Pahang mengakhiri penantian 14 tahun untuk kembali bergelar juara Sukma, selepas mencapai kemenangan sensasi ke atas juara bertahan Selangor, 2-1.

Kali terakhir Pahang menang pingat emas acara hoki wanita di pentas Sukma, pada edisi 2008 di Terengganu.

Dalam perlawanan itu, Pahang terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Nur Atiqah Najwa Sutimi pada miit ke-25.

Bagaimanapun, Selangor yang dibimbing Ikmal Abdul Jabar bangkit mengikat kedudukan 1-1 ketika permainan berbaki tujuh minit untuk tamat melalui pukulan sudut penalti Nur Irdina Asnida Mohd. Yusmi pada minit ke-53.

Hasrat Selangor mengheret aksi ke penentuan penalti shoot-out tidak kesampaian apabila Pahang berjaya meledak gol kemenangan pada minit terakhir perlawanan.

Wan Norfatihah Md Saiuti muncul wira buat skuad bimbingan Mohd. Sabri Mohamad itu dengan jaringan padang pada minit ke-60

Sementara itu, tempat ketiga pula berjaya dimenangi oleh Wilayah Persekutuan selepas menewaskan Pulau Pinang 4-1 dalam penentuan pingat gangsa.