Foto ihsan : Muhammad Amiruddin Ani (Unit Korporat, SUK Pahang)

BERAKSI tanpa bimbingan jurulatih di tepi padang, tidak mematahkan semangat skuad hoki lelaki Pahang, sebaliknya mereka cemerlang menyerang dan bertahan sebelum layak ke final selepas menewaskan Terengganu, 3-1 menerusi penentuan penalti shoot-out.

Jurulatih Mohd Sufian Mohamad digantung satu perlawanan, menyaksikan pengurus pasukan Ismail Abu memimpin pasukan.

“Terima kasih pemain berusaha keras memenangi perlawanan ini. Tapi masih ada perlawanan untuk dimenangi esok, sekali gus menebus semula pingat emas yang terlepas pada edisi 2018 di Perak,” kata Mohd Sufian.

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti shoot-out selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam tempoh sebenar permainan.

Gol Pahang dijaringkan ketua pasukan, Muhamad Izham Azhar pada minit ke-17 danMohamad Shamir Rizmi Mohd Shamsul (m-23).

Gol Terengganu pula dijaringkan ketua pasukann Muhamad Akhimullah Anwar Esook, m-22 dan Muhammad Shahrin Izzudin Shamsuri, m-38.

Kemenangan itu membawa Pahang kepada pertemuan final menentang Johor, yang mengatasi Perak 4-1.

Empat tahun lalu di Perak, Pahang muncul pemenang pingat perak selepas tewas kepada Sabah di final.

Lebih manis, Pahang berpeluang menambah emas apabila skuad hoki wanitanya turut ke final selepas mengatasi Pulau Pinang 2-1.

Skuad wanita Pahang akan menentang Selangor yang menang ke atas Wilayah Persekutuan 3-1.