KONTINJEN Johor berjaya meraih 51 pingat emas sekaligus semakin hampir dengan sasaran 50 emas yang diletakkan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada temasya Sukan Malaysia XX MSN 2022 apabila sukan kanu menyumbang sebanyak 7 pingat emas pada hari ketiga acara itu berlangsung.

Kompleks Sukan Air Presint 8, Putrajaya menjadi saksi kepada kejayaan Muhammad Ridzuan Abdul Aziz yang mengungguli acara TK1 200 meter sekaligus menoktahkan misi pemburuan 40 pingat emas dengan gemilang.

Ia disusuli dengan Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize yang meneruskan kecemerlangannya apabila meraih emas ketiga peribadi dalam acara K1 200 meter.

Ketua Kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri berkata pencapaian ini amat membanggakan tetapi beliau turut mengingatkan atlet agar terus kekal fokus untuk mengejar angka 60 emas.

“Ini membuktikan seluruh kontinjen memberi komitmen yang sepenuhnya dalam misi memburu emas sebanyak mungkin.

“Namun, kita masih belum menang. Kita masih ada baki beberapa hari lagi untuk meraih baki emas yang dipertandingkan dan perlu berusaha dan jangan leka dengan kejayaan ini.

Penyumbang emas ke-40, Muhammad Ridzuan Abdul Aziz berkongsi kegembiraan hasil kejayaannya memenangi emas.

Saya berbangga dengan prestasi yang dipamerkan saya dan rakan-rakan. Ini semua adalah usaha keras bukan sahaja saya, tetapi usaha semua pihak termasuk jurulatih, dan pasukan sokongan dari Majlis Sukan Negeri Johor

Turut menyumbang emas adalah dari acara menembak dengan 2 emas, judo 1 emas, akuatik renang 1 emas, dan berbasikal trek 1 emas.

Jaguh angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan turut meraih kejayaan pingat emas di dalam acara angkat berat kategori 61kg dengan angkatan 263kg.

Johor mengakhiri saingan hari kelima dengan kutipan 51 emas, 32 dan 24 gangsa.