Foto : Majlis Sukan Negeri Johor

TIADA apa yang boleh diperkatakan kepada skuad Kanu Johor kecuali ucapan tahniah apabila menggondol tiga lagi emas acara Perahu Tradisional dalam aksi hari terakhir acara Kanu Sukma 2022 di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya.

Johor memenangi tiga emas menerusi acara Perahu Tradisional 8 Pendayung 200 meter lelaki, wanita dan campuran selepas berjaya memenangi kategori 1000 meter dan 500 meter yang berlangsung pada Rabu dan Khamis.

Tiga emas ini membawa jumlah keseluruhan pingat emas yang dibolot Johor dalam sukan air ini kepada 23 pingat emas dari 33 pingat yang dipertandingkan sepanjang enam hari saingan.

Aksi skuad kanu Johor

Pengurus Pasukan Kanu Johor, Mohammed Rafi Ms Solaiman ternyata gembira dan terharu dengan kejayaan skuad kanu ini dan akan menjadikan kejayaan di Sukma 2022 ini sebagai motivasi dan semangat buat semua atlet untuk beraksi di Sukma 2024.

Mohamad Rafi yang dihubungi FLASH SUKAN tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya apabila Johor menyapu bersih kesemua sembilan pingat yang ditawarkan dalam acara Perahu Tradisional ini sekaligus menunjukkan penguasaan penuh pasukan dari Selatan ini.

“Alhamdulillah dengan persembahan dan pencapaian yang cukup luar biasa untuk pasukan kanu ini terutama dalam acara Perahu Tradisional apabila Johor berjaya memenangi kesemua sembilan pingat emas yang ditawarkan.

“Kejayaan di Sukma 2022 ini akan menjadi semangat buat kami bersedia untuk Sukma 2024 setelah kami melalui pelbagai jenis rintangan dan cabaran termasuk berdepan penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Johor menutup saingan di Kompleks Sukan Air Putrajaya ini dengan 23 emas, tujuh perak dan dua gangsa dengan Terengganu kedua dengan lima emas manakala Wilayah Persekutuan membawa pulang empat emas.