SETELAH mengumpul 14 pingat emas dalam acara Kanu, Kontinjen Johor dilihat tidak berhenti sebaliknya meneruskan momentum kecemerlangan apabila menyapu bersih tiga pingat emas yang ditawarkan hari ini menerusi acara Perahu Tradisional 8 Pendayung di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya.
Johor berjaya mendapat tiga emas menerusi acara lelaki, wanita dan campuran sekaligus kekal menguasai jumlah kutipan pingat acara Kanu dalam Temasya Sukma 2022 ini.
Pingat emas pertama diperolehi dari pasukan lelaki yang mencatat masa 4 minit 58.490 saat meninggalkan Wilayah Persekutuan di tempat kedua, tiga saat dibelakang dan Terengganu ketiga, ketinggalan 12 saat.
Pasukan wanita pula menyusul menyumbangkan emas buat Johor apabila turut berjaya menumpaskan Wilayah Persekutuan dan Terengganu dengan catatan masa 5 minit 27.19 saat, lebih 10 saat dihadapan.
Dua kemenangan seakan tidak cukup buat Johor apabila turut menambah sebutir lagi emas menerusi acara campuran dengan catatan masa 5 minit 04.732 saat dalam saingan sengit bersama Wilayah Persekutuan yang hanya dipisahkan kurang setengah saat dengan Terengganu ketiga.
Pengurus Pasukan Kanu Johor, Mohamed Rafi Ms Solaiman nyata teruja dengan kejayaan mutlak ini dan pasukan sudah menjangkakan kejayaan ini dan gembira apabila ianya menjadi kenyataan.
“Kami sudah mensasarkan untuk menang dalam acara Perahu Tradisional ini meskipun kita sudah lama tidak berlatih kerana memberikan tumpuan pada kayak, dan kemenangan ini sangat menggembirakan,” katanya kepada FLASH SUKAN.
Dengan tiga pingat emas ini, skuad Johor kini mengumpul 17 emas, enam perak dan dua gangsa manakala Terengganu dengan lima emas dan Wilayah Persekutuan tiga pingat emas untuk unggul sebagai kuasa sukan air pada temasya ini.