Foto Kredit: Utusan Malaysia
“SEGALA benda tak kena hari ini, apapun saya syukur dengan ujian hari ini. Kalau tak, saya tak akan fikir, selalu menang sahaja,” demikian menurut Nur Sarah Adi, selepas menamatkan acara akhir lompat bergalah wanita.
Pemenang pingat emas Sukan SEA itu tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa apabila terpaksa beraksi menggunakan galah lain, bukan galah yang biasa digunakannya sewaktu Latihan.
Katanya, dia sudah melakukan persiapan untuk pertandingan pagi ini, memasang tape, memasukkan galah dalam ‘casing’ kuning dan disimpan dalam setor Majlis Sukan Negara (MSN).
“Mungkin ada yang guna selepas itu mereka masukkan galah yang salah ke dalam ‘casing’.
“Pagi ini apabila saya tengok galah saya semua dah tak ada. Jadi macam aaahh… terus ‘lost’, terpaksa pasang tape semula dan buang masa,” katanya Nur Sarah, mengakui secara psikologinya dia sudah hilang fokus.
Begitupun, dia menganggp kejadian itu sebagai ujian dari Allah. Malah bertanding dalam keadaan trek basah juga membataskan prestasi.
Tak apalah, apa terjadi sekarang ujian untuk saya ‘comeback’. Mungkin ini rezeki orang lain untuk menang Sukma, mungkin untuk pertandingan besar, saya akan tunjuk kepada dunia yang Malaysia hebat.
“Saya janji akan ‘comeback’ ubah apa terjadi hari ini kepada yang baik di masa depan,” kata Nur Sarah lagi.
Begitupun, atlet Pahang itu tetap bersyukur kerana sekurang-kurangnya sudah meraih satu pingat emas dalam acara 100m wanita.
Pada acara pagi tadi, lima atlet mengambil bahagian dan Nur Sarah gagal menyempurnakan sebarang lompatan sehingga tiada catatan ketinggian dilakukannya, perkara sama dihadapi atlet Kedah Nurul Fitryana Abd Rani.
Acara itu dimenangi atlet Sarawak Evelyne Tan dengan ketinggian 2.9m, perak dimenangi atlet Wilayah persekutuan, Nur Anis Natasha Abdul Razif (2.8m) manakala gangsa milik Ch’ng Qin Yan dari Pulau Pinang (2.5m).
Nur Sarah memenangi pingat emas lompat bergalah Sukan SEA Hanoi, dengan ketinggia 4m. Rekod kebangsaan acara ini dipegang Roslinda Samsu 4.40m yang dicatat di Mataro, Sepanyol 2006.