PINGAT emas yang dimenangi dalam acara lompat tinggi, belum cukup bermakna kepada atlet kebangsaan, apabila terpaksa menunggu lebih lama untuk layak secara merit ke temasya Sukan SEA Kemboja.
Atlet lompat tinggi kebangsaan, Ngu Jia Xin meluahkan kekecewaannya itu, selepas mengungguli acara terbabit di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini.
Pada saingan terbabit, Jia Xin yang mewakili Perak, melakukan lompatan setinggi 1.70m, sekali gus mempertahan pingat emas yang dimenanginya pada temasya sama di Ipoh, Perak pada 2018.
Begitupun, catatannya itu gagal melepasi had ketinggian 1.75m yang ditetapkan untuk layak ke Sukan SEA.
“Ini Sukma terakhir buat saya kerana saya sudah berusia 22 tahun, jadi pingat emas ini memang satu pencapaian yang baik. Jurulatih (Alex Gasparyan) beritahu saya untuk dapatkan pingat emas hari ini. Saya cuba sedaya upaya mendapatkannya dengan catatan yang bagus.
“Saya hanya berjaya lakukan 1.70m. Apapun, saya akan fokus untuk memperbaiki catatan untuk ke Sukan SEA tahun depan,” katanya.
Pingat perak menjadi milik atlet Terengganu, Tuan Juliana Tuan Hassan dengan catatan 1.65m, sementara pingat gangsa dimenangi Melissa Choong En Xuan dari Pulau Pinang dengan catatan 1.60m.
Jia Xin pernah beraksi pada Sukan SEA Hanoi tahun ini, mempunyai catatan peribadi terbaik 1.79m dilakukan pada 2019.