HASRAT melihat penguasaan mutlak Raja Pecut negara Muhammad Azeem Fahmi dari Perak, tidak menjadi kenyataan apabila gelaran berganda itu disekat Muhammad Arsyad Md Saat di penghujung saingan.
Penamat yang mendebarkan itu bermula dengan pecutan Azeem sejak wisel permulaan dibunyikan, namun pelari Johor itu bijak merencana strategi dengan mengekor rapat sebelum memintas pada 10m terakhir perlumbaan, yang menyaksikan Azeem memegang peha kanannya.
Arsyad menamatkan larian dengan catatan masa 21.02 saat memenangi pingat emas, sekali gus membalas dendam kekalahan dalam acara 100m kelmarin, apabila dia terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua, di belakang Azeem.
Sementara itu, Azeem meraih pingat perak dengan masa 21.03s, manakala gangsa milik pelari Negeri Sembilan, Muhammad Haiqal Hanafi (21.18s).
“Perasaan balas dendam kekalahan 100m itu ada, tapi kami tidak berlari kerana itu. Kami berlari untuk dapatkan masa terbaik, cuba dapatkan pingat emas dan menikmati perlumbaan,” kata Arsyad, yang cukup mengenali corak larian Azeem yang akan memecut lebih awal.
Arsyad mendedikasikan pingat emas dimenanginya kepada bapanya Md Saat Jaafar, yang menyambut ulangtahun kelahiran ke-59 hari ini.
Terdahulu, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal dari Selangor meraih pingat emas 200m wanita, selepas mengatasi pelari Sabah Nur Aishah Rofina Aling (perak) dan pelari Pahang, KM Darshini (gangsa).
Afrina mencatat masa 24.83s, manakala Aishah Rofina 25.14s dan Darshini 25.74s.