“MEMANG itu (masa) yang kita sasarkan kerana kita mengutamakan konsistensi berbanding improvement yang banyak, kerana konsisten adalah kunci untuk berjaya,” demikian kata jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi, yang memenangi separuh akhir 2, 100 meter (m) lelaki di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.
Pemegang rekod kebangsaan itu mewakili Perak itu menamatkan separuh akhir dengan catatan masa terpantas, 10.33 saat (s), mengatasi wakil Pulau Pinang Muhammad Fakhrul Abdul Aziz, 10.69s (kedua), dan Muhammad Idham Rosli dari Wilayah Persekutuan (10.82s) sekali gus ketiga-tiganya layak ke final esok.
Azeem yang memegang rekod kebangsaan dengan catatan 10.04s, menganggap catatan itu antara yang pantas dilakukan sepanjang kerjayanya dan tidak sabar untuk beraksi di final.
Menurutnya, selagi melakukan catatan di bawah 10.40s, keputusan itu dikira baik, namun dia tetap berhati-hati dengan cabaran dari pelari pecut lain.
“Walaupun saya pilihan untuk menang, tidak boleh pandang rendah atlet lain. Lihat larian Haiqal yang bersahaja, begitu juga dengan Arsyad.
“Saya yakin mereka akan beri cabaran yang baik dan saya hanya mahu lakukan larian terbaik dan tak mahu ada tekanan,” kata Azeem lagi.
Turut melangkah ke final esok, Muhammad Haiqal Hanafi dari Negeri Sembilan (10.57s), Mohammad Thaqif Mohammad Hisham dari Selangor (10.70s) dan Alif Iman Mohd Fahmi dari Kelantan (10.74s) yang beraksi dalam separuh akhir 1.
Tiga lagi pelari yang mara ke final, Muhammad Arsyad Md Saat dari Johor (10.54s), Muhammad Zulfiqar Ismail dari Terengganu (10.71s) dan Nabil Alwani Rizal Alwani dari Selangor (10.78s) yang beraksi dalam separuh akhir 3.
Sementara itu, saingan wanita pula menyaksikan atlet Terengganu, Nor Sarah Adi mengungguli separuh akhir 1 dengan catatan 11.94s diikuti Nur Aishah Rofina Aling dari Sabah (12.04s) kedua, pelari Terengganu, Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka ketiga (12.42s) dan Erissca Peter dari Sarawak keempat (12.56s).
Saingan separuh akhir 2 wanita pula didominasi atlet Selangor, Nur Afrina Batrisya Mohamad Rizal yang merakam masa terpantas manakala Feova Lim Yi Fei dari Sabah kedua (12.14s) diikuti atlet Terengganu, Siti Norzullaika Ramli ketiga (12.55s) dan wakil Sarawak, Emma Hill Yu Wei Ling keempat (12.55s).
Dalam acara lempar cakera Wanita, atlet Johor Nur Atiqah Sufiah Md Hanizam merangkul pingat emas selepas mencatat jarak lemparan 44.99m.
Pingat perak milik atlet Pahang Nani Sahirah Maryata 39.97m, manakala gangsa milik Vanesa Niega Franky dari Sarawak (35.38m).
Sementara Sabah menguasai emas dan perak acara lompat tinggi lelaki menerusi Farrell Glenn dan Mohamad Eizlan Dahalan, selepas kedua-duanya melakukan lompatan 2.15m dan 2.06m, manakala gangsa milik atlet Perak, Kuan Jyh Yunn, 2.03m.