JADUAL acara olahraga diputuskan bersama dengan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan mengikut amalan standard jadual olahraga di pelbagai peringkat pertandingan.

Jawatankuasa Media dan Publisiti Sukan Malaysia XX MSN 2022, dalam satu kenyataan yang diedarkan berkata, dakwaan Ketua Jurulatih Olahraga Terengganu, Zaki Sadri yang mendakwa penjadualan acara tidak merujuk kepada pihak berpengalaman adalah tidak tepat.

Menurut kenyataan itu, jadual acara dimaklumkan lebih awal kepada setiap pasukan yang mempunyai masa mencukupi untuk menyusun penyertaan atlet masing-masing, dengan mengambil kira faktor prestasi serta jarak masa rehat atlet, di antara acara yang dilangsungkan.

“Sebagai jurulatih berpengalaman, beliau (Zaki) harus tahu bahawa dalam sukan temasya seperti Sukan SEA dan Sukan Asia, acara olahraga juga dilangsungkan pada sesi pagi selain sesi petang dan sebelah malam,” kata kenyataan itu.

Jawatankuasa terbabit juga membidas rungutan jurulatih jalan kaki Kuala Lumpur, V Subramaniam yang menyalahkan pegawai pertandingan, mengenai dakwaan atlet terpaksa menghabiskan jarak tambahan 400m dalam acara jalan kaki, 5,000m wanita.

“Rungutan itu sudah disiasat dan dibuktikan tidak benar.

“Subramaniam dan pasukan Kuala Lumpur juga tidak pernah mengemukakan sebarang bantahan rasmi dan bukti-bukti kepada penganjur bagi menyokong dakwaan yang dibuat,” kata kenyataan itu.

Justeru, jawatankuasa terbabit meminta jurulatih dan pegawai pasukan yang mahu membangkitkan isu, merujuk dahulu kepada pengurusan kontinjen pengurusan kontinjen masing-masing yang sentiasa mendapat maklumat terkini dan terperinci daripada penganjur.