Foto : Bernama

LARIAN bertenaga Muhammad Ikbolasen Md Kamal Hussain dalam acara 10,000 meter (m) di temasya Sukan Malaysia (SUKMA) sebentar tadi menyaksikan dia mencatat masa lebih pantas dari rekod temasya, namun tidak diiktiraf sebagai rekod kejohanan.

Atlet terbabit menyumbang emas pertama buat kontinjen Pahang, apabila mencatat masa 31 minit, 11.62 saat dalam acara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sayangnya, catatan dilakukan atlet berusia 20 tahun itu yang mengatasi rekod A Munusamy 31 mint, 47.95 saat (SUKMA 1996) tidak diiktiraf berdasarkan peraturan ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN), untuk tidak mengiktiraf sebarang catatan sebagai rekod kejohanan, berikutan perubahan had umur edisi kali ini dilanjutkan sehingga 23 tahun.

“Semua sukan (dipertandingkan) mereka tidak diiktiraf rekod untuk acara, ini keputusan induk (MSN). Dari arahan yang kita terima semua rekod tidak diiktiraf.

“Ini disebabkan edisi sebelumnya di Johor tak dijalankan jadi atlet (berumur bawah 21 tahun) yang sudah didaftarkan dulu kita bagi peluang bertanding kali ini di bawah 23 tahun sementara bagi pendaftaran baharu semua bawah 21 tahun,” kata Ketua Delegat Teknikal Olahraga Sukma, V Govindasamy.

Perak dalam acara berkenaan diraih S Dinesh Varma dari Selangor (33:33.690s), manakala gangsa milik wakil Pulau Pinang, V Ruveshwaran (34:13.070s).

Dalam pada itu, Ikbolasen mengakui bermotivasi tinggi beraksi pada Sukma sulungnya dan semangatnya membara sebaik menjejak kaki ke trek larian, hari ini.

“Jurulatih meletakkan harapan yang tinggi kepada saya dan saya juga sentiasa bekerja keras dan tidak berputus asa ketika menjalani latihan.

“Apabila sudah berada di atas balapan, saya hanya fokus untuk mencatat pencapaian terbaik seperti dilakar pada hari ini.

“Terima kasih kepada jurulatih kerana banyak membantu meningkatkan prestasi saya daripada 34 saat sehinggalah mendapat catatan 31 saat,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih olahraga Pahang, P Subramaniam optimis anak didiknya mampu meneruskan rentak cemerlang dan diharapkan dapat menghadiahkan kilauan pingat dalam acara seterusnya.

Ikbolasen akan bertanding dalam acara 3,000 meter esok dan melihat pencapaian hari ini  saya optimis untuk sekurang kurangnya podium,” katanya.

Sementara itu, dalam acara 5,000m wanita, atlet Wilayah Persekutuan, Kok Hui Ying memenangi pingat emas menerusi catatan 28 minit 45.810 minit.

Atlet Kelantan, Nurul Alyahaziqah Kamarazaman memenangi perak (29 minit 30.730 saat) manakala gangsa milik seorang lagi atlet Wilayah Persekutuan, Nurul Ashikin Hussin (29 minit 51.720 saat).