Foto: MSN Perak
“SAYA berlari dengan cara saya sendiri, fokus pada lorong saya dan tidak mempedulikan pesaing lain, akhirnya di sinilah saya!”.
Itulah antara kata-kata Muhammad Azeem Mohd Fahmi selepas menamatkan perlumbaan acara riben biru dengan pingat emas buat Perak.
Menamatkan larian dengan catatan masa 10.25s, Azeem jauh meninggalkan pencabar lain ketika melintasi garisan penamat, dalam aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang disaksikan kira-kira 3,000 penonton yang hadir.
“Memang sasaran saya menghadiahkan pingat emas untuk Negeri Perak dan di sini, saya tidak mensasarkan masa di bawah 10 saat. Paling penting saya konsisten catat masa bawah 10.30 saat,” kata pemegang rekod kebangsaan itu.
Sukan Malaysia XX (Sukma) adalah pengalaman keduanya dalam temasya ini, dan dia tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira bersaing pada edisi kali ini.
Menurutnya, pada penyertaan Sukma pertama di Perak empat tahun lalu, dia menamatkan perlumbaan di kedudukan tercorot namun berjaya menukarnya dengan kilauan emas.
“Sasaran sudah dicapai dalam acara 100 meter, jadi no more 100 meter this year, I am very satisfied” katanya.
Menurutnya, kejohanan terakhir yang akan disertainya Oktober depan adalah jemputan Cabaran Olahraga, di Niigata, Jepun, iaitu kejohanan di bawah Jelajah Continental 2022.
Begitupun, dia hanya akan beraksi dalam acara 200m dan tiada sasaran khusus ditetapkan.
Pada final itu, Azeem bermula di Lorong kelima, bagai tidak dicabar pelari lain.
Pelari Johor, Muhammad Arsyad Md Saat, meraih pingat perak dengan catatan 10.46s, manakala gangsa milik pelari Negeri Sembilan Muhammad Haiqal Hanafi dengan catatan 10.50s.
Azeem akan turut membantu kuartet Perak dalam acara 4x100m lelaki di final esok selain acara 200m akhir yang akan berlangsung Ahad ini.
Rekod Sukma masih dipegang Khairul Hafiz Jantan dari Melaka, dengan catatan 10.18s yang dilakukan di Kuching, Sarawak pada 2016.