KONTINJEN Johor berjaya layak ke empat final acara renang Sukma 2022 petang ini dengan dua perenang mereka yakin dengan kemampuan masing-masing untuk meraih pingat emas di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Johor bakal beraksi dalam final disiplin 50 meter kuak lentang, 100 meter kuak dada menerusi atlet Tan Rouxin serta 200 meter gaya bebas dan 400 meter rampaian individu menerusi atlet Ong Yong Qi.
Rouxin dan Yong Qi yang ditemui FLASH SUKAN selepas tamat sesi saringan jelas yakin mereka mampu membawa pulang pingat emas dan memperbaharui rekod peribadi.
“Saya lebih yakin dengan acara 100 meter kuak dada dan yakin 100 peratus saya akan memenangi pingat emas dalam acara ini dan mahu memecahkan rekod peribadi manakala untuk acara 50 meter kuak lentang saya akan cuba sehabis baik untuk meraih pingat emas buat Johor,” kata perenang dari Johor Bahru ini.
Rouxin yang baru berusia 16 tahun dan dalam penampilan pertamanya di Sukma turut mahu terpilih mewakili negara ke Sukan Sea 2023 dan berharap Sukma ini akan menjadi pentas buatnya menyinar.
Sementara itu, Yong Qi yakin untuk mendapat pingat emas dalam acara 400 meter rampaian individu sekaligus pingat emas pertamanya dalam Sukma keempat yang disertainya.
Selain itu atlet berusia 20 tahun ini juga turut berharap dapat menyumbang satu lagi pingat emas dalam acara 200 meter gaya bebas walaupun acara utamanya adalah 200 meter kuak kupu kupu yang akan berlangsung pada Rabu.
“Peluang untuk memenangi pingat emas dalam acara 400 meter rampaian lebih tinggi dan saya yakin akan membawa pulang pingat emas pertama saya dalam Sukma keempat dan terakhir saya.
“Untuk acara 200 meter gaya bebas pula saya akan cuba yang terbaik walaupun ianya bukanlah acara utama saya berbanding 200 meter kuak kupu kupu,” katanya.
Pihak Ketua Jurulatih telah mensasarkan empat pingat emas yang telah dipersetujui bersama oleh pihak Majlis Sukan Negeri Johor dalam Sukma kali ini.
Acara kolam renang membuka tirai hari ini dengan lapan pingat emas menjadi rebutan menerusi disiplin 200m gaya bebas, 100m kuak dada, 50m kuak lentang dan 400m rampaian lelaki dan wanita.