SKUAD renang meneruskan rentak cemerlang kontinjen Johor di kolam renang apabila berjaya menambah dua lagi pingat emas menerusi perenang muda sensasi mereka, Tan Rouxin pada hari kedua acara akuatik di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Johor memperolehi dua emas menerusi Rouxin dalam acara 200 meter kuak lentang dan 200 meter rampaian individu yang juga menyaksikan perenang berusia 15 tahun itu memperbaharui rekod peribadi miliknya dalam kedua-dua acara dan juga emas ketiga peribadi keseluruhan setakat ini.
Selepas berakhir hari kedua, Johor kini memperolehi empat pingat emas, sama jumlah emas dengan Wilayah Persekutuan dan yakin mampu menambah kilauan pingat emas pada hari ketiga juga menerusi Rouxin dan Ong Yong Qi.
Pengurus Pasukan Renang Johor SUKMA 2022, Haris Lua Abdullah gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh atlet dan mengakui kejayaan ini adalah hasil kerja keras semua pihak termasuk jurulatih.
“Alhamdulillah setakat ini semuanya berjalan lancar. Kami ucapkan tahniah kepada Tan Rouxin dan Ong Yong Qi yang menyumbang pingat buat kontinjen Johor di kolam renang setakat dua hari ini.
“Kami juga berbangga dengan pencapaian semua atlet-atlet kerana mereka telah mengharumkan nama Johor dan ini semua adalah hasil kerja keras para atlet dan jurulatih yang terlibat,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN
Skuad Johor meletakkan sasaran dua lagi pingat emas dalam acara 50 meter kuak dada menerusi Tan Rouxin dan 200 meter kuak kupu-kupu menerusi Ong Yong Qi pada hari ketiga acara akuatik yang menawarkan enam pingat emas dari enam disiplin renang.