PERENANG Johor, Tan Rouxin mengesahkan dirinya sebagai ratu kolam renang Sukma baharu apabila memenangi enam pingat emas dapat penampilan pertamanya di temasya sukan dwitahunan ini.
Gadis kelahiran Johor Bahru yang berusia 15 tahun ini menggemparkan Pusat Akuatik Nasional dengan renangan bertenaga dan juga dia berjaya memecahkan rekod peribadinya.
Rouxin berjaya memenangi emas dalam acara 100m kuak lentang,200m kuak dada, 50m kuak dada,200m rampaian individu, 200m kuak lentang dan 100m kuak dada yang memungkinkan dia menjadi atlet terbaik wanita Sukma 2022.
Dia yang dihubungi FLASH SUKAN berkongsi rahsia kejayaannya bergelar pemenang enam pingat emas pada usia muda dan juga pada penyertaan pertamanya di kejohanan yang besar.
“Saya sentiasa bekerja keras, tidak putus asa dan berjuang hingga ke akhir,” inilah motto yang dijadikan panduan dalam memastikan dia sentiasa berada dalam keadaan yang terbaik.
Kegembiraan ini turut dikongsi bersama oleh Pengurus Pasukan Renang Johor Sukma 2022, Haris Lua Abdullah yang turut berbangga kerana kontinjen Johor berjaya memecah rekod enam emas yang dimenangi pada edisi 2018 di Perak.
Dia juga menyatakan bahawa kejayaan ini akan menjadi semangat buat pasukan renang Johor dan akan bekerja lebih keras untuk menguasai lebih banyak acara pada Temasya Sukma 2024.
“Saya berbangga menjadi pengurus pasukan renang Johor pada Sukma kali ini. Pasukan ini telah mencipta satu keputusan yang hebat dengan tujuh pingat emas berbanding enam pada edisi 2018.
“Kejayaan ini mendorong skuad renang Johor untuk meletakkan sasaran lebih tinggi pada edisi Sukma 2024 dan tahniah kepada semua yang terlibat dengan kejayaan ini,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.
Enam pingat emas menerusi Rouxin dan satu dari Ong Yong Qi menerusi acara 400m rampaian individu meletakkan Johor di tangga ketiga keseluruhan dalam acara akuatik di belakang Wilayah Persekutuan dan Selangor namun ini adalah pencapaian terbaik dari mereka.