PEMAIN sepak takraw Terengganu, Alif Mursyid Rusli menganggap punca kemenangan adalah disebabkan mereka memiliki sudut pertahanan yang mantap.

Jelasnya, setiap kali pemain lawan melakukan servis, ia belum cukup merbahaya untuk menumpaskan mereka kerana pasukan lawan sering melakukan kesilapan mudah apabila bola tersangkut di jaring.

Selain itu, kelebihan yang dimiliki pemain Terengganu adalah mereka sudah terbiasa dengan suasana di pelbagai venue pertandingan mengakibatkan tiada sebarang tekanan dirasai dan hasilnya mereka berjaya mengawal permainan.

“Kita main sehabis baik dan berpuas hati. Kita akan berusaha lebih baik lagi. Kita memang tekankan untuk bertahan. Bola pertama kami perlu dinaikkan, benda tu  baiklah.

Alif Mursyid Rusli

“Selepas itu tekong Sarawak pun lemah-lemah sedikit, servis sangkut, jadi kita ambil kesempatan.

” Perancangan kami akan bagi sehabis baik di gelanggang. Kita memang tiada tekanan. Kita pun telah mencuba gelanggang dan membiasakan diri,” ujarnya kepada FLASH SUKAN.

Untuk rekod, pemain berusia 23 tahun dari Kuala Terengganu itu sudah terbiasa bermain di liga kompetitif seperti Sepak Takraw League (STL) pada tahun 2018 dan 2019 bersama Skuad Peteh.

Pencapaian terbaik Alif Mursyid adalah dengan merangkul pingat emas buat Kontinjen Terengganu dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang berlangsung di Perak.