KEJUTAN besar tercipta di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil apabila gandingan wanita Sabah mara ke final skuasy beregu wanita Sukan Malaysia (Sukma) pada Khamis.

Lai Wen Li-Yee Xin Ying yang tewas set pertama 7-11, bangkit dalam dua set berikutnya untuk mengatasi pemain senior kebangsaan, Noor Ainaa Amani Ampandi-Chan Yiwen 11-6, 11-10.

Kemenangan itu amat bermakna buat mereka terutamanya reputasi besar dimiliki Ainaa-Yiwen yang pernah menewaskan juara dunia dari India, Joshna Chinappa-Dipika Pallikal di temasya Sukan Komanwel, Birmingham 2022.

“Saya dan pasangan (Xin Ying) tidak letak harapan tinggi, cuma mahu fokus kepada permainan sendiri kerana kami memang mahukan kemenangan ini,” kata Wen Li.

Wen Li yang kini menuntut di Universiti Cornell di New York, Amerika Syarikat, bertekad untuk memberikan aksi terbaik di pentas final esok menentang pasangan adik beradik dari Kedah, Aifa-Aira Azman.

Aifa-Aira menepati ramalan mara ke final selepas menewaskan rakan sepasukan, K. Sehveetrraa-Wong Heng Wai 11-5, 11-8 dalam satu lagi aksi separuh akhir hari ini.

“Kami sentiasa mempercayai kemampuan satu sama lain. Satu lagi aksi sukar esok tetapi kami fokus untuk dapatkan satu per satu mata terlebih dahulu,” jelasnya.

Sementara itu, Yiwen mahu menebus kekecewaannya dengan berazam membawa pulang pingat gangsa.

Kelmarin, Yiwen merangkul emas perseorangan wanita dalam aksi di Pusat Skuasy Jalan Duta.

“Sedih juga kerana tidak dapat menang dua emas pada Sukma ini. Kami akan bangkit kerana kami perlu menang pingat gangsa esok,” kata Yiwen.

Di Sukan Komanwel lalu, Ainaa-Yiwen turut terlepas peluang meraih gangsa selepas tewas kepada Aifa yang bergandingan denhan Rachel Arnold dalam penentuan pingat gangsa di Birmingham 2022.