KETIKA tumpuan terarah kepada atlet sepak takraw yang berjuang di gelanggang, usah terlupa bahawa mereka di belakang tabir iaitu penyokong adalah penyuntik semangat bahkan mampu mengubah sesuatu tempo permainan dari perlahan kepada laju.

Ianya dibuktikan oleh sokongan tidak berbelah bahagi daripada penyokong empat penjuru iaitu Selangor, Terengganu, Perak dan Pulau Pinang.

Namun, aksi pemain Terengganu dan Perak begitu terserlah ketika sorakan bertubi-tubi dipamerkan penyokong Terengganu dan Perak yang hadir dengan paluan gendang yang menggamatkan suasana stadium.

Buktinya, sorakan padu mereka menenggelamkan sorakan penyokong lawan mereka yang dilihat seperti ‘malu-malu’ ketika bersorak untuk pasukan kesayangan mereka.

Selain itu, pasukan Perak yang ketinggalan jauh pada regu pertama di set kedua juga berjaya mengejutkan Pulau Pinang dengan kemenangan straight set 21-17 23-21 hasil sorakan padu penyokong.

Tidak boleh disangkal lagi, pujian harus diberikan kepada wira tidak didendang ini kerana pasukan Selangor menerusi regu kedua di set pertama juga berjaya bangkit dan menang 25-23 meskipun ketinggalan agak jauh 15-8 kepada suatu ketika.

Ironinya, sebuah pasukan tidak lengkap tanpa penyokong kerana mereka adalah tulang belakang kepada kejayaan sesebuah pasukan.

Justeru, zahirkanlah penghargaan anda kepada mereka yang sanggup mengorbankan masa, jiwa dan tenaga demi pasukan kesayangannya. Hargailah penyokong!

Tidak lengkap rasanya jika tidak melihat dengan pancaindera sendiri, elok rasanya anda rasakan sendiri kehangatan di Dewan Seri Sarjana, UNITEN.