PENGALAMAN  luas di pentas antarabangsa menjadi kunci gandingan terjun 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki dari Sabah, Gabriel Gilbert Daim-Julfaddli Jali meraih pingat emas Sukan Malaysia (Sukma XX) di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Gandingan terbabit memungut 317.37 mata, jauh meninggalkan pesaing lain.

“Saya tidak pernah berlatih bersama Julfaddli, dia di Sabah dan saya pula di Kuala Lumpur, berlatih bersama skuad kebangsaan. Kami hanya berlatih bersama dalam satu hari.

“Bukan mudah mendapatkan persefahaman dalam acara seirama ini. Namun, saya ambil pendekatan mengikut rentak terjunannya dalam memastikan kami kelihatan seperti melakukan satu terjunan,” kata Gilbert.

Gilbert berpengalaman luas termasuk memenangi pingat perak di Sukan Komanwel lalu, ketika bergandingan dengan Muhammad Syafiq Puteh, dan pendekatan diambilnya mengikut rentak Julfaddli itu berbaloi kerana berjaya membentuk gandingan mantap.

Dalam acara terbabit, pingat perak dimenangi gandingan Wilayah Persekutuan, Nurqayyum Nazmi-Yong Rui Jie yang mengutip 308.40 mata, manakala, Elvis Priestly-Soh Tze Kang dari Sarawak meraih gangsa dengan mata 303.84.