EMAS yang sangat dinanti-nantikan sepanjang bergelar atlet kebangsaan, sejak tujuh tahun lalu.
Begitulah gambaran diberi pemenang pingat emas wushu dalam acara Nandao lelaki, Chuah Shangyang dari Pulau Pinang.
Kemenangan pingat emas pertamanya di Sukan Malaysia (SUKMA) selepas edisi 2018, sekadar meraih satu perak dan dua gangsa.
“Finally get gold, saya sangat happy,” kata Shangyang.
Meluahkan kegembiraannya itu, atlet berusia 22 tahun terbabit mendedahkan dia mula aktif dalam sukan Taekwondo ketika berusia 10 tahun, namun terpaksa berhenti daripada sukan itu.
“Sewaktu bermain Taekwondo, saya mengalami kecederaan hidung sehingga terpaksa jalani pembedahan.
“Sejak itu, tidak lagi giat dalam Taekwondo dan keluarga mahu saya beri tumpuan kepada persediaan UPSR.
“Setelah masuk ke sekolah menengah, baru saya sertai wushu. Sekarang gembira dapat emas,” kata Shangyang lagi.
Menurutnya, kemenangan itu juga menjadi hadiah bermakna kepada ibu bapanya, yang menghantar, menunggu dan mengambilnya menjalani latihan ketika remaja, dari Pulau Pinang ke Seberang Perai.
Pada aksi Nandao sebentar tadi, Shangyang memungut 9.643 mata, mengatasi atlet Sarawak Danny Ling (9.616) untuk perak manakala atlet Johor Chan Shi Weng (9.593) memenangi gangsa.
Dalam pada itu, Tan Zhi Yan dari Melaka meraih pingat emas kedua peribadi apabila mengutip mata tertinggi dalam acara Taijijian lelaki.
Dia meraih 9.646 mata mengatasi Ker Qing (Wilayah Persekutuan) dan Edison Wong (Sarawak) untuk pingat perak dan gangsa, selepas masing-masing memungut 9.576 mata dan 9.513 mata.