TIDAK pernah terpilih menyertai kem kebangsaan bukan penghalang buat pemilik badan kecil dari Sarawak, memecah benteng stigma yang mengatakan bangsa mahupun kelompok masyarakat tertentu sahaja boleh beraksi dalam sesebuah acara sukan.

Yong Arifah Khairul Kok, 23, gadis kacukan Cina dan Melayu Sarawak, perwatakan ayu muslimah lengkap bertudung, mempamerkan aksi mantap di gelanggang wushu.

Dia menyertai dua acara iaitu Taijijiaan dan Taijiquan, dan menaiki podium dalam kedua-dua acara itu.

Kelainan saya adalah bertudung, boleh dianggap minoriti dalam sukan ini. Seronok juga melihat gadis Melayu beraksi, dan saya berbangga kerana dalam acara ini, tidak ramai budak Melayu

Mula berjinak-jinak dengan sukan wushu sejak berusia 10 tahun, Arifah tidak pernah mengidamkan pencapaian setinggi ini.

“Jurulatih mengesan bakat saya dan mahu saya sertai pertandingan. Pada awalnya saya hanya menyertai wushu sekadar melengkapkan kokurikulum sekolah,” katanya.

Mempunyai darah kacukan masyarakat Tionghua, Arifah berkata, dalam keluarganya tiada seorangpun pernah terlibat dalam sukan apa lagi menceburkan diri dalam wushu.

Gembira dengan pencapaian dua gangsa pada temasya SUKMA XX kali ini, Arifahtetap menganggap edisi 2016 di Sarawak tetap kenangan paling manis kerana dia merangkul pingat pertamanya di temasya terbabit.

Pada 2016, Arifah meraih gangsa dalam acara Taijijian.