ATLET angkat berat Perlis, Muhammad Hafizuddin Roslin memecah rekod kebangsaan sebanyak lapan kali dalam acara angkat berat kategori 81 kilogram (kg) lelaki untuk merangkul pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) 2024 semalam.

Pada aksi berlangsung di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di sini, atlet berusia 20 tahun itu melakukan angkatan snatch 141kg untuk memadam rekod kebangsaan milik Nasir Roslan, 140kg yang dilakukannya pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan 2021.

Pada angkatan keduanya, Muhammad Hafizuddin sekali lagi memecah rekod kebangsaan selepas mengangkat 146kg, sebelum sekali lagi memadamnya pada angkatan ketiga dengan 151kg.

Muhammad Hafizuddin melakukan angkatan pertama clean and jerk 165kg, sekali gus memecah rekod kebangsaan angkatan keseluruhan 316kg, untuk memadam rekod lama dipegang Nasir 315kg.

Rentak cemerlang Muhammad Hafizuddin tidak boleh disekat lagi apabila memecah rekod kebangsaan clean and jerk pada angkatan kedua dengan 176kg sebelum memperbaharui rekod sendiri dengan angkatan 181kg, menjadikan keseluruhan angkatan 332kg untuk muncul di tangga podium utama.

“Sebenarnya sudah lama saya nak pecahkan rekod kebangsaan dalam acara ini dari 2022. Ketika itu di Sukma Kuala Lumpur saya kalah. Selepas itu memang saya simpan hasrat untuk pecahkan semua rekod pada edisi kali ini.

“Alhamdulillah hari ini, saya berjaya buktikan yang saya mampu untuk pecahkan semua rekod sebelum ini untuk Perlis raih emas,” katanya.

Pingat perak acara berkenaan dimenangi Muhammad Shah Jeh’an Syamsul Bahri dari Terengganu dengan melakukan 273kg manakala atlet Wilayah Persekutuan, Muhammad Elvin Muhammad Hidayat gangsa dengan angkatan 249kg.