PEMAIN muda kebangsaan, Harith Danial Jefri dan Altamis Aqhar Sallam A Sufian mencatatkan sejarah dalam sukan skuasy Sarawak apabila memenangi pingat emas kedua bagi kontinjen negeri itu di temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Pusat Skuasy Sarawak, Petra Jaya hari ini.

Dalam perlawanan akhir beregu lelaki di Court 7, Harith-Altamis menewaskan pasangan Pulau Pinang, Ishant Shah dan Dhirren Rajarathinam. Mereka memenangi set pertama 11-10 tetapi tewas di set kedua 9-11. Namun, mereka berjaya meraih emas selepas memenangi set penentuan 11-10.

“Ia adalah perlawanan akhir yang sukar hari ini dan kami tidak mengambil mudah. Pasukan Pulau Pinang sangat kuat dan kami tidak menjangkakan banyak, hanya berusaha memberikan yang terbaik untuk Sarawak.

“Saya rasa kami melakukan terlalu banyak kesilapan di set kedua dan lawan mula berasa selesa serta yakin, lalu mereka menang set itu,” kata Harith kepada pemberita selepas perlawanan.

Harith-Altamis menewaskan pasangan Pulau Pinang, Ishant Shah dan Dhirren Rajarathinam. Foto : SUKMA Sarawak 2024

“Ia sangat luar biasa, terutamanya memenangi emas ini untuk Sarawak dan bermain di hadapan penyokong sendiri. Menang di hadapan ibu bapa, keluarga, dan saudara-mara saya bermakna besar. Sokongan mereka memberi motivasi untuk kami bermain dengan baik.

“Inilah kali pertama ibu saya menyaksikan saya bermain dalam kejohanan besar dan saya berasa sangat bangga dengan diri sendiri,” kata Harith, yang turut gembira kerana mencapai sasaran pingat emas mereka.

Pingat emas beregu lelaki ini adalah yang kedua untuk Sarawak dan merupakan pencapaian bersejarah, kerana negeri itu tidak pernah memenangi lebih daripada satu emas dalam edisi Sukma sebelum ini.

Sarawak kini hampir dinobatkan sebagai juara keseluruhan skuasy selepas meraih dua pingat emas dan dua gangsa. Gangsa yang lain diperolehi dalam acara beregu campuran.

Kedudukan akhir pingat akan ditentukan apabila acara berpasukan campuran berakhir pada hari Khamis.