KONTINJEN Wilayah Persekutuan (WiPers) menyasarkan kutipan 70 pingat emas dalam usaha merealisasi misi muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak pada 17-24 Ogos ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata sasaran tersebut diletak berdasarkan kejayaan WiPers menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan merangkul 55 pingat emas, 68 perak dan 64 gangsa di Sukma ke-20 pada 2022.
Untuk temasya kali ini WiPers menghantar antara kontinjen terbesar dengan penyertaan keseluruhan 1,011 atlet dan pegawai yang akan menyertai kesemua 37 jenis sukan dipertandingkan.
“Ia memberi keyakinan kepada saya untuk menetapkan sasaran ini. Selepas kali terakhir memenangi juara keseluruhan pada Sukma 2014, sudah semestinya harapan besar buat kontinjen supaya dapat muncul kembali sebagai juara keseluruhan selepas 10 tahun menanti.
“Saya yakin dengan kemampuan atlet-atlet kita dan percaya bahawa anda semua akan terus membawa kejayaan,” katanya pada majlis Penyerahan Bendera Kontinjen WiPers Sukma 2024 di Menara Seri Wilayah, Putrajaya pada Rabu.
Dr Zaliha turut mengumumkan insentif berjumlah RM5,000 buat pemenang pingat emas individu dan RM2,000 bagi perak manakala RM1,000 bagi gangsa sebagai pembakar semangat kontinjen.
“Perbezaan pada temasya Sukma di Sarawak ini, jurulatih dan pengurus pasukan juga bakal memperolehi insentif atas kejayaan sukan masing-masing,” jelasnya.
Jumlah insentif yang ditetapkan buat pengurus dan jurulatih bermula dari RM500 hingga RM1,000 bagi setiap kategori sukan sama ada berpasukan atau individu.
Pada Sukma ke-20 yang lalu, WiPers memenangi 55 pingat emas, 68 perak dan 64 gangsa untuk menduduki tempat ketiga keseluruhan di belakang Johor dan Terengganu.