JAGUH wushu Selangor, Mandy Cebelle Chen muncul atlet pertama merangkul dua pingat emas di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas mengungguli final taijiquan wanita di Stadium Wushu Sarawak di Kuching.

Selepas berjaya meraih emas acara taijijian wanita pada Rabu, Mandy sekali lagi mendominasi saingan taijiquan untuk mengesahkan emas peribadi keduanya pada temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu.

Pada saingan berlangsung pada sebelah pagi, atlet pelapis kebangsaan berusia 21 tahun itu mencatat kutipan mata tertinggi 9.606 untuk mengatasi 18 pencabar lain sekali gus meraih emas kedua peribadi dan juga kedua untuk Kontinjen Selangor.

Aksi Mandy Cebelle Chen di gelanggang wushu (kredit foto: MSN Selangor)

Atlet Wilayah Persekutuan Kwan Yong Xin pula terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 9.600 mata sementara gangsa menjadi milik wakil tuan rumah Carmen Jia Min Chaw dengan 9.573 mata.

Sementara itu dalam acara Taijiquan Lelaki pula, Zi Hong Wong memenangi emas pertama buat kontinjen Negeri Sembilan dengan catatan 9.596 mengatasi atlet Wilayah Persekutuan, Lee Cheng Yang manakala atlet Sarawak, Johan Wei Xiang Wong meraih gangsa.

Wushu adalah disiplin sukan yang menggabungkan elemen seni mempertahankan diri dan estetika pergerakan menawarkan keseluruhan 28 pingat emas sepanjang tiga hari pertandingan bermula pada Rabu.