TIDAK mustahil Majlis Sukan Negara (MSN) menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) sekali lgi untuk edisi 2024 di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyatakan pihaknya sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana kerajaan negeri yang berminat bagi penganjuran temasya dwi tahunan itu.
“Mungkin MSN akan putuskan untuk melangsungkannya di Kuala Lumpur atau di negeri yang kita fikir mahu bekerjasama menganjurkannya.
“Tidak menjadi tanda tanya kerana kita memang sudah ada keputusan yang belum kita umumkan,” katanya menjawab pertanyaan media berhubung siapa yang bakal menjadi tuan rumah Sukma 2024, pada majlis makan malam bersama kontinjen negeri, sempena Sukma 2022 Isnin malam.
Sukma yang sedang berlangsung ketika ini, menyaksikan MSN bertindak sebagai tuan rumah membabitkan venue-venue di sekitar Lembah Klang selain Nilai, Negeri Sembilan dan Langkawi, Kedah.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, hak penganjuran Sukma adalah milik kerajaan persekutuan melalui MSN yang dianjurkan dua tahun sekali.
“Sebelum ini, MSN bekerjasama dengan kerajaan negeri menganjurkannya. Negeri-negeri menyambut hak menjadi tuan rumah, kerajaan pusat telah membina fasiliti bertaraf antarabangsa.
“Alhamdulillah, hanya Kelantan belum dapat hak menjadi tuan rumah dan kini mereka akan menjadi tuan rumah pada 2026. Kerajaan persekutuan berusaha menyiapkan fasiliti sukan seperti stadium besar di Bukit Merbau dan sekitar bandaraya Kota Bharu.
“Ini akan merancakkan aktiviti sukan di negeri terbabit. Jadi, ke mana kita mahu bawa SUKMA ini tidak penting kerana fasiliti hampir siap di seluruh negara. Yang pentingnya, SUKMA akan terus diadakan dua tahun sekali,” katanya.
Sebelum ini, Johor menyatakan minat menjadi tuan rumah Sukma 2024 selepas terpaksa menangguhkan dan mengembalikan hak penganjuran kepada MSN untuk edisi 2020 berikutan pandemik COVID-19.