MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menghadiri perlawanan sukan Silambam yang dipertandingkan di Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Hikmah Exchange Event Centre, Kuching.

Sukan Silambam dan Kabaddi, yang sebelum ini hanya tampil sebagai acara demonstrasi, telah diberi pengiktirafan rasmi dalam Sukma 2024 dan akan terus disenaraikan sebagai sukan pingat di Sukma 2026.

Kemasukan kedua-dua sukan tradisional masyarakat India dalam Sukma ini adalah hasil keputusan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) yang bermesyuarat pada 12 Jun 2023.

Langkah ini mencerminkan komitmen Kerajaan Madani untuk mengekalkan dan mempromosikan sukan-sukan tradisional agar tidak lenyap ditelan arus pemodenan.

Penyertaan Silambam dan Kabbadi dalam Sukma akan memberi peluang untuk mencungkil bakat dari kalangan belia India.

“Penyertaan Silambam dan Kabaddi di Sukma adalah peluang terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan belia India.

“Mereka kini mempunyai platform yang lebih luas untuk menyerlahkan potensi mereka, sekali gus memberi peluang untuk bertanding di peringkat antarabangsa seperti Sukan Asia yang turut mempertandingkan sukan Kabaddi,” kata  Hannah  dalam satu kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat KBS.

Langkah ini turut disambut baik oleh pelbagai pihak, yang melihatnya sebagai usaha penting untuk mengekalkan warisan budaya dan memberi peluang sama rata kepada semua sukan tradisional di negara ini.