ATLET lawan pedang Johor, Teh Zi Hao menepati ramalan apabila meraih pingat emas dalam saingan lawan pedang selepas menewaskan atlet Melaka, Tony Lee 15-13 pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri pada Selasa.

Cemerlang dalam acara kegemarannya, Sabre individu lelaki, Zi Hao tenang menguasai gelanggang meskipun menerima tentang hebat daripada Tony Lee untuk meraih emas pada penampilan pertamanya di Sukma.

Dia yang pernah beraksi di Sukan SEA Kemboja pada 2023 kini memasang impian untuk beraksi di pentas Olimpik dan mahu menggunakan pengalaman bertemu atlet Vietnam di Sukan SEA sebagai pendorong utama untuk pergi lebih jauh.

Mengulas mengenai kejayaannya di pentas final, Zi Hao yang dipetik laporan Media Digital Johor menyifatkan pingat emas dirangkulnya itu sangat bermakna buatnya yang membuat penampilan sulung di pentas SUKMA selain mendedikasikan kejayaan tersebut buat kedua ibu bapa.

Malah, pertembungan dengan rakan sepasukan, Keane Leong di peringkat separuh akhir mengajar Zi Hao erti persaingan di dalam gelanggang tanpa mengira status kawan atau lawan untuk menjadi yang terbaik sekali gus muncul sebagai pemenang.

Dengan pengalaman dimiliki di pentas antarabangsa, Zi Hao kini akan memanfaatkannya untuk membantu rakan sepasukannya dalam saingan sabre berpasukan sekali gus menambah koleksi pingat buat kontinjen Johor.