KONTINJEN Brunei Darussalam mencatat nota gembira di Sukan Malaysia XXI Sarawak apabila berjaya meraih pingat emas sulung menerusi sukan wushu kategori Daoshu Lelaki pada sesi sebelah petang Khamis di Stadium Wushu Sarawak.

Pingat emas itu disumbangkan oleh atlet berusia 19 tahun, Walid Lachkar yang mencatatkan mata 9.613 untuk kemenangan mutlak dan juga pingat kedua peribadinya dalam kejohanan sukan dwi tahunan ini.

Pada sesi Rabu, Walid mendapat pingat gangsa menerusi acara Changquan dan pingat emas ini pastinya melengkapkan prestasi cemerlang dengan dia mempunyai satu lagi acara dalam kategori gunshu yang dijadualkan pada sesi pagi Jumaat.

Pingat perak menjadi milik atlet Melaka, Lee Ronn dengan 9.593 mata manakala pingat gangsa dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Kwan Yin Jie dengan catatan 9.590 mata.

Saingan acara wushu terus menjadi tumpuan semua pasukan bertanding dengan taruhan 14 pingat emas lagi sebelum acara berkenaan melabuhkan tiraiya pada Jumaat.

Acara dipertandingkan melibatkan disiplin taolu bagi kategori qiangshu lelaki dan wanita, gunshu lelaki dan wanita manakala sanda melibatkan kategori wanita 48kg, 52kg, 56kg diikuti kategori lelaki 52kg, 56kg, 60kg, 65kg, 70kg (lelaki) dan nandao bagi lelaki dan wanita.

Pada temasya kali ini, wushu yang membuka gelanggang pada Rabu menawarkan keseluruhan 28 pingat emas.