PELUMBA basikal berpengalaman negara, Mohd Harrif Saleh, meluahkan rasa rindunya terhadap zaman Sukan Malaysia (Sukma) yang pernah dilaluinya dahulu.
Hariff pertama kali menyertai Sukma pada tahun 2004 di Negeri Sembilan, namun pada ketika itu hanya menjadi pelumba simpanan.
Selain membantu rakan sepasukan, Harrif juga membantu kru-kru yang lain dan abang-abangnya dengan kerja-kerja seperti membasuh baju.
Pada Sukma 2006 di Kedah, Harrif mula bersaing dalam acara Time Trial dan Road Race, di mana dia berjaya membawa pulang dua pingat perak dalam acara Kriterium dan Time Trial.
Di Sukma 2008 di Terengganu, Harrif sekali lagi menyertai acara Kriterium dan Time Trial, kali ini meraih dua pingat emas dalam kedua-dua acara tersebut.
Sukma terakhirnya pada tahun 2010 di Melaka menjadi kenangan manis apabila dia memenangi tiga pingat emas dalam acara Sprint 200 meter, Kriterium, dan Time Trial. Baginya, detik-detik ini adalah kenangan yang tidak akan dilupakan sepanjang kariernya dalam arena Sukma.
Harrif turut menyampaikan pesanan penting kepada generasi muda, mengingatkan mereka agar tidak terlalu selesa selepas Sukma berakhir.
Baginya, Sukma hanyalah seperti peperiksaan SPM, dan perjalanan yang sebenar masih jauh.
Harrif juga menasihati atlet muda untuk meminta nasihat daripada mereka yang lebih berpengalaman mengenai hala tuju selepas Sukma, dan berharap pihak persatuan memberi peluang terbaik kepada pelumba-pelumba yang tamat penyertaan Sukma.
“Jika ada peluang pekerjaan yang ditawarkan, ambil dahulu. Selepas itu, kayuh semula untuk negara atau kelab-kelab yang diceburi,” katanya.
Pesanan terakhirnya lagi dengan rendah hati, “Abangmu ini hanyalah jaguh kampung sahaja, cap ayam sahaja.”
FOTO : FB HARRIF SALEH